Apr 19, 2023 - FASSelangor berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam perlawanan Liga Super 2023 setelah menewaskan Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan keputusan 5-1.
Statistik perlawanan melihat 56% penguasaan bola, 81% ketepatan hantaran, 12 percubaan dan 10 sepakan penjuru. Ayron Del Valle telah menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-17, diikuti Faisal Halim pada minit ke-21, sebelum tamat separuh masa pertama, Harith Haiqal menjaringkan gol pada minit ke-40, Ayron kemudian menjaringkan gol kedua beliau pada minit ke-71 dan Aliff Haiqal Lau meledak gol kelima Gergasi Merah pada minit ke-84 perlawanan.
Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, barisan jurulatih bangga dengan pencapaian pasukan kerana dapat memenangi kesemua perlawanan dalam bulan Ramadan.
"Kita dapat memenangi kesemua perlawanan dalam bulan Ramadan yang kita sedia tahu bukan mudah. Kami barisan jurulatih amat bangga dengan pencapaian ini. Walau bagaimanapun, banyak lagi yang kita perlu perbaiki untuk perlawanan yang akan datang.
“Kita nampak dari segi pergerakan dalam bertahan dan menyerang pemain beraksi sebagai satu pasukan. Skuad tahun ni kalau kita lihat agak seimbang daripada bahagian penjaga gol, pertahanan, tengah dan serangan kita ada 'squad depth' yang terbaik. Setiap pemain perlu menunjukkan satu persembahan yang baik bagi memastikan diri mereka tersenarai dalam kesebelasan utama. Ini merupakan satu saingan yang cukup sihat untuk pasukan," ujar Tan Cheng Hoe
Daripada perlawanan #SELTER semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Penyerang Selangor FC tunjuk taring
Ayron Del Valle, penyerang import baharu Gergasi Merah semakin serasi bersama pasukan beraksi dalam Liga Malaysia. Beliau telah menjaringkan dua jaringan gol dalam perlawanan #SELTER semalam pada minit ke-17 dan minit ke-71 perlawanan. Pengalaman yang dimiliki Ayron sudah semestinya menjadi antara kunci utama jaringan pembukaan beliau. Statistik peribadi beliau untuk perlawanan semalam adalah 2 jaringan gol, 4 percubaan, 4 percubaan tepat dan 4 sentuhan dalam kotak penalti. Ayron juga dipilih menjadi #MOTM (Man Of The Match) dengan dua jaringan tersebut.
Harith Haiqal memperkenalkan diri
Pemain berusia 20 tahun berjaya menembus kesebelasan utama untuk dua perlawanan setakat ini iaitu #SELSRP dan perlawanan #SELTER semalam. Dalam masa yang sama, Harith telah menjaringkan gol ketiga Gergasi Merah pada minit ke-40 sebelum tamat separuh masa kedua perlawanan. Harith sebenarnya terkenal dengan jaringan tandukan tetapi kali ini beliau membuktikan ketajaman kakinya. Selain itu, ketenangan serta tindakan cekap yang beliau miliki telah mempertahankan gawang Selangor daripada serangan-serangan berbahaya pasukan lawan dengan gandingan ‘center back’ beliau, Richmond Ankrah.
Antara fakta menarik semalam, enam pemain kesebelasan utama berusia bawah 23 tahun, empat daripadanya adalah pemain pertahanan, Harith Haiqal (21 tahun), Richmond Ankrah (23 tahun) , Quentin Cheng (22 tahun) dan Ruventhiran (21 tahun). Dua pemain lain adalah Mukhairi Ajmal (22 tahun) dan Alexander Agyarkwa (22 tahun).
Aliff Haiqal Lau menambah rekod peribadinya
Gol perlawanan #SELTER Aliff Haiqal Lau semalam telah menjadikan jaringan kedua peribadinya bersama skuad senior Gergasi Merah. Menerima hantaran pendek daripada Yohandry Orozco beliau kemudian menyudahkan dengan jaringan gol pada minit ke-84 perlawanan. Beliau kini telah menjaringkan satu jaringan dan satu bantuan gol setakat ini.
Noor Al-Rawabdeh kembali
Pemain import tengah Gergasi Merah kembali menganggotai jentera tengah sebagai kesebelasan utama setelah tidak dapat bersama pasukan untuk satu perlawanan mengalami kecederaan dalam perlawanan #SELKEL yang lalu. Noor telah membuat bantuan gol untuk jaringan Ayron Del Valle sebelum tamat perlawanan.
Faisal Halim terus ber-'SIU'
Menjadi salah seorang pemain baharu tumpuan para penyokong. Faisal Halim telah menjaringkan satu jaringan gol semalam pada minit ke-21 perlawanan. Dalam masa yang sama, beliau telah membuat 3 percubaan, 3 percubaan tepat dan perlawanan semalam menjadi aksi penuh kedua beliau bersama Gergasi Merah. Setakat ini, Faisal telah menjaringkan empat jaringan gol dan empat bantuan gol.
Pihak pengurusan bangga dengan aksi yang dipamerkan oleh pasukan. Semoga pasukan terus kekalkan momentum baik ini dalam perlawanan seterusnya. Ayuh, Gergasi Merah!
Selangor FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada 5,702 penyokong yang telah hadir ke stadium MBPJ semalam menyokong pasukan sehingga tamat perlawanan. Selamat Hari Raya Aidil Fitri Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!